Tuesday, June 14, 2011

Universiti Malaysia Terengganu akan melancarkan kapal penyelidik bulan hadapan



KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan melancarkan kapal penyelidik, RV Discovery, pada bulan depan, kata Pendaftar UMT Zakaria Ibrahim.
Beliau berkata majlis perasmian itu akan disempurnakan Canselor UMT Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.
“RV Discovery atau Research Vessel Discovery sepanjang 35 meter, seberat 300 tan dengan kos RM13 juta yang dibina oleh Kay Marine Sdn Bhd pada September 2008 merupakan satu-satunya kapal penyelidik kepunyaan UMT,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pembantu Perpustakaan 2011 di sini.
Zakaria berkata UMT akan mengadakan majlis konvokesyen selama dua hari pada 1 dan 2 Okt manakala kemasukan kira-kira 2,200 pelajar baru sesi 2011 pada September.
Mengenai rancangan pembangunan UMT, beliau berkata pembinaan dua kampus baru iaitu di Bukit Kor, di daerah Marang melibatkan kawasan seluas 160 hektar dan satu lagi di Lembah Bidong, Setiu melibatkan kawasan seluas 200 hektar akan fokus universiti itu.
Bagi projek di Bukit Kor, beliau berkata kerja-kerja penyediaan tapak sedang dilaksanakan manakala permohonan tanah di Lembah Bidong, masih belum diputuskan oleh kerajaan negeri.
Zakaria berkata ketika ini UMT mempunyai seramai 1,563 kakitangan dengan kekuatan 477 pensyarah. Jumlah penuntut UMT kini melebihi 6,000 orang.
Sementara itu, Seminar Pembantu Perpustakaan anjuran Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT, yang disertai 70 peserta daripada 16 institusi pengajian tinggi di seluruh negara antara lain bertujuan berkongsi pengalaman dalam bidang perpustakaan.
“Bagi merealisasikan perkhidmatan berkualiti, pembantu perpustakaan merupakan tunjang utama sesebuah perpustakaan, perlu meningkatkan ilmu terutama dalam bidang teknologi maklumat.
“Pembantu perpustakaan adalah gambaran kepada seluruh operasi perpustakaan kerana mereka yang berada di barisan hadapan dalam menentukan kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan,” kata Zakaria. – BERNAMA



bekas pelajar Fakulti Pengurusan & Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu



Bung@ngkasa_FPE,UMT@)--'--

1 comment:

joeayu said...

tumpang bangga...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...